Wednesday, 27 August 2014

GIVE IT A TRY !!

Kali Pertama..

" Ana minta maaf ye, tak biasa handle usrah. Pape kekurangan, bolehlah tegur ana " Si A berkata perlahan kepada anak usrahnya. Kebetulan aku juga merupakan anak usrah beliau.

Aku tersenyum sendirian. Kagum melihat kesungguhan naqib aku yang berusaha sepenuh hati untuk memimpin usrah. Aku juga pernah di tempat beliau. Sungguh aku fahami perasaan itu.

Kali pertama. Ianya bukan mudah. Rasa kurang ilmu, dosa yang bertimbun, tidak biasa.. Semua ini menyumbang kepada perasaan gugup itu.

Fenomena Kali Pertama..

Situasi di atas hanyalah satu contoh mudah yang menggambarkan apa yang biasa berlaku dalam kalangan kita, terutama kepada mereka yang baru berhijrah.

Ada yang berjaya melalui fasa ini, ada yang gagal, tidak kurang juga masih ramai yang 'tersekat' dalam fasa ini.

Kali pertama, ianya tidak menuntut kesempurnaan. Ianya pasti diselangi dengan kesilapan. Konsep yang mudah tetapi payah.

Mudah untuk dituturkan, payah untuk dihayati dan diamalkan..

Percaya Dengan Janji Tuhan..

Solusi mudah. Percaya pada Allah.

Banyak janji tuhan kepada mereka yang lakukan kebaikan, lebih-lebih lagi kebaikan mengajak orang kepada tuhan.

Dari memberi tazkirah kepada memimpin persatuan, semua ini amalan hebat di sisi tuhan. Oleh sebab itu, jangan bertangguh untuk memulakan.

Serahkan Kejayaan Pada Tuhan

Kita berusaha, biar tuhan yang tentukan hasilnya. Sekurang-kurangnya, kita ada jawapan di akhirat sana.

Bukan menolak konsep ikhtiar, cuma perkara ini perlu diseimbangkan.

Lalu apa lagi yang kita takutkan?

Bergeraklah. Manfaatkan diri untuk ummah..

Saiful Mukmin
Besut. 10.50 pm.

Thursday, 17 January 2013

Faham Syarat Perjuangan

Alhamdulillah. Diri diberi ruang dan peluang untuk menulis lagi. Moga-moga usaha ku ini dipandang oleh Allah, insyaallah.

Sesungguhnya Islam agama yang indah, tidak menyusahkan dan sempurna merangkumi seluruh persoalan dan aspek kehidupan. Islam diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Malangnya, kebenaran ini gagal diterjemahkan oleh ramai insan yang mengaku muslim dewasa ini.

Faktor utama kondisi umat Islam yang amat menyedihkan ini adalah tidak lain tidak bukan kerana kefahaman mereka sendiri tentang agama yang mulia ini bermasalah. 'Kurang ilmu' bukanlah frasa yang terbaik, 'salah faham' mungkin lebih menepati untuk menyampaikan maksud dalam perbahasan ini. Moga-moga diri kita tergolong dalam golongan orang yang diberi kefahaman terbaik dalam agama yang kita sayangi ini.

Lewat dua tiga bulan ini, terlalu banyak isu yang dimainkan oleh segelintir pihak yang kemudiannya mengakibatkan kepada bertambahnya kecelaruan kepada pemahaman saudara-saudara seagama kita terutama bagi yang belum cukup teguh ilmu asasnya dalam Islam ini. Akhirnya, muncullah muslim-muslim yang berjuang perkara yang furu'iyah (cabang) lebih daripada perkara yang usul (dasar) dan tidak kurang juga timbul pihak-pihak yang mula merendahkan pendapat-pendapat ulama'yang sememangnya diiktiraf keilmuannya.

Isu penggunaan kalimah Allah, sememangnya merupakan isu yang sengaja dihangatkan walaupun sebenarnya ianya adalah isu furu'iyah. Pendapat beberapa ulama' yang dilihat seakan-akan berbeza sengaja dibesar-besarkan. Inilah akibatnya apabila fanatik kepartian terlalu diagung-agungkan. Ulama' dilayan seperti budak hingusan, sedangkan mereka pewaris para Anbiya. Kita? Tentu jauh sekali. Islam.sentiasa menekankan kepentingan adab, lebih-lebih lagi dengan seseorang berstatus ulama'. Namun perlu diingatkan, ulama' tidak terlepas dari membuat silap. Kesilapan itu biasa bagi manusia dan ianya sedikit pun tidak menjejaskan keilmuan seseorang itu. Maka di situlah kita lihat keindahan islam.

Satu lagi perkara penting yang perlu ditegaskan di sini iaitu perbezaan pendapat dalam kalangan ulama' di dalam perkara-perkara furu'iyah sebenarnya adalah perkara biasa dalam sejarah agama ini dan bukanlah satu perkara yang perlu dibesar-besarkan. Lihatlah sahaja kepada perbezaan empat mazhab yang memang tidak asing lagi pada kita. Boleh sahaja kita menerima perkara tersebut dengan lapang dada. Jadi sebenarnya tiada apa yang peliknya jika berbeza pendapat dalam isu penggunaan kalimah Allah, itupun mestilah berdasarkan hujah dan kefahaman yang mendalam tentang agama ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama membetulkan kembali pendirian kita dalam memahami agama yang tercinta ini. Selain itu, kenalilah mana perkara yang furu'iyah dan mana yang usul kerana hanya dengan pemahaman yang tepat tentang perkara ini membolehkan kita memilih perjuangan yang terbaik untuk mengembalikan martabat agama ini di tempat yang sepatutnya.

Insyaallah. Biiznillah.

Wednesday, 9 January 2013

Mengerti Skrip Kehidupan Ini

Sesungguhnya setiap yang dipinjam itu pasti akan dipulangkan..

Setiap permulaan itu ada penghujungnya..

Setiap yang hidup pasti akan mati..

Sememangnya persoalan ajal maut ini ketentuan tuhan, jauh dari telahan dan ramalan makhluk lemah bernama insan.

Namun seringkali kita lupakan, tuhan tidak tinggalkan kita tanpa sebarang pencerahan, cara bagaimana dan dalam keadaan apa pengakhiran kita sentiasa boleh diusahakan. Sama ada 'Husnul khotimah' (Pengakhiran yang baik) atau 'Su'ul khotimah' (Pengakhiran yang buruk), pilihan di tangan kita. Sungguh hebat percaturan tuhan, seakan-akan menyediakan kita satu peperiksaan besar. Barangsiapa yang berusaha dan belajar, nescaya dia akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ini, begitulah sebaliknya.

Begitulah sketsa kehidupan, siapkanlah bekalan untuk menjamin pengakhiran yang baik. Masih segar dalam ingatanku melihat tubuh segar Imam Fauzi mengimami solat isyak secara berjemaah di surau tempat tinggal ku. Wajah manisnya tidak pernah lokek memberikan senyuman kepada ku tatkala selesai membaca doa, tidak seperti sebilangan ahli qaryah yang lain, mungkin kerana kehadiran aku di surau tersebut yang tidak pernah konsisten atau kerana diriku yang memang tidak ramah. Bukan apa, kadang-kadang aku pun tidak tahu apa yang boleh dibualkan dengan mereka memandangkan minat mereka denganku jauh berbeza.

Kalau dulu, mudah sahaja, imamnya pasti Haji Fauzi. Tetapi setelah kesihatan Haji Fauzi merosot, (aku pun tidak pasti apa sebenarnya penyakitnya), imam seringkali berganti-ganti. Adakalanya aku pun ditolak hanya kerana mereka mengetahui bahawa aku pernah belajar di Darul Quran. Adakala apabila tiada orang yang 'sanggup' menjadi imam, solat terpaksa dilewatkan hingga seseorang yang sanggup menjadi imam muncul. Lucu juga melihat gelagat pakcik-pakcik ini saling bertolakan memilih imam.

Hampir dua bulan aku tidak melihat Imam Fauzi di surau. Akhirnya malam ini Allah memberi peluang untuk aku temui beliau. Tubuhnya sedikit susut, namun wajah manis itu tetap memberikan senyuman. Kelihatan pergerakannya sudah tidak setangkas dahulu, solatnya pun sudah memerlukan kerusi lipat untuk duduk ketika sujud. 

"Allahuakbar. Mudahnya engkau menarik nikmat seseorang itu". Getus hatiku. 

Hikmahnya hanya Engkau yang tahu. Kita insan lemah hanya mampu bersedia. Sentiasa bersedia.

Mungkin hari ini hari terakhir kita. Siapa tahu?

Thursday, 3 January 2013

Pendakwah Yang Didakwah


Petang itu, aku dan beberapa orang sahabatku perlu berjumpa dengan tuan-tuan rumah yang berdekatan dengan tempat program kami. Cadangan kami untuk mengadakan 'explorace' versi islamik yang kian popular dalam kalangan program kepimpinan, motivasi atau apa-apa sahaja bentuk program yang islamik kerana kesuaiannya untuk menyampaikan mesej dalam bentuk yang jauh lebih santai dan berkesan. Target kami pada petang tersebut hanyalah untuk memaklumkan kepada mereka secara ringkas tentang tujuan dan pelaksanaan 'explorace' tersebut. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Ada yang menolak dengan baik kerana tidak berada dalam rumah pada masa 'explorace' tersebut. Mereka cukup beradab, walaupun kami ini orang asing, terasa seperti sangat dialu-alukan. 

Kisah kami bertandang di sebuah rumah ini cukup segar dalam ingatanku. Lucu, insaf dan mungkin kagum berkumpul dalam satu masa. Setibanya kami di sana, rumahnya kelihatan seperti kosong. "Mungkin tuannya keluar rumah," Sahabat aku mengagak. Selepas beberapa kali memberi salam, muncuk sebuah sosok lelaki separuh abad di depan pintu. Kami pun memperkenalkan diri dan memohon sedikit masa pak cik tersebut untuk menerangkan tujuan kami hadir ada petang tersebut. Beliau pun dengan senang hati mengajak kami untuk duduk di kerusi rotan yang terletak di halaman rumahnya.

Penerangan kami seperti biasa, hanya sekadarnya. Tiba-tiba pakcik itu mencelah, "Mengapa nama persatuan kamu itu dalam bahasa inggeris?" Kami terdiam, kelu tanpa jawapan. Pakcik itu menyambung lagi, "Martabatkanlah Bahasa Melayu, bukan salah guna bahasa inggeris, tapi biarlah ada bahasa melayunya. Bahasa Melayulah identiti kita." Kami mengangguk perlahan. Pakcik itu tidak berhenti setakat itu sahaja, beliau terus menyambung tentang beberapa bab yang sebenarnya agak tinggi apabila dibincangkan dalam kalangan masyarakat kita dewasa ini. 

Pakcik itu mengkritik usaha tidak serius orang melayu dalam memelihara dan memulihara tulisan jawi. Beliau sangat menekankan bahawa segala usaha ini memang tidak akan nampak kesan baik buruknya dalam masa dua tiga tahun yang terdekat ini, bahkan kesannya akan sangat jelas dalam lima puluh tahun akan datang. Anak-anak orang melayu kini rata-ratanya tidak mampu membaca tulisan jawi. Beliau menambah, tidak mustahil lima puluh tahun akan datang tulisan jawi sudah hilang ditelan zaman.

Selain itu, beliau juga memberi komen ringkas tentang isu pengunaan kalimah Allah yang hangat dibincangkan di negara ini. Terkejut kami mendengar pakcik tersebut membaca beberapa ayat daripada kitab 'bible'. Huhu. Mungkin pakcik itu hanya menipu kami kerana memang tidak ada seorang pun daripada kami yang pernah mengkaji 'bible secara serius. Kesimpulan yang kami dapat bahawa agamawan-gamawan kristian ini sebenarnya telah beberapa kali menukar ayat-ayat atau istilah-istilah dalam 'bible' untuk memenangi isu ini. Kebenarannya , wallahua'lam.

Petang itu, aku pulang dengan penuh kepuasan. Mungkin input yang kudapat petang itu perlu kepada lebih kajian namun aku puas berkenalan dengan mereka. Pertemuan yang semakin membuka mata ku bahawa insan itu cukup bewarna-warni sifat dan perangainya.

Aku ingin menyampaikan Islam kepada insan..


Sudah tentu, aku perlu mulakan dengan mengenali mereka..


Sunday, 23 December 2012

Aku ingin Jadi 'Orang Seni'

Lots of fun with them...

Alhamdulillah. Seronok rasa hati apabila dapat berjumpa kembali dengan teman-teman lama. Huhu. Banyak kenangan lama kembali menerjah minda ini. Pengalaman berbuka puasa beramai-ramai dalam dewan makan, menghadiri kelas persediaan dan tidak kurang juga beberapa adegan nakal yang sengaja tidak ku coretkan, biarlah rahsia. Sememangnya, zaman persekolahan sangat memberi kesan kepada personaliti diri kita walaupun ianya bukanlah suatu yang mesti, tetapi pengaruhnya cukup dominan. Adik-adik yang masih di alam persekolahan, hargailah zaman keemasan itu, carilah sebanyak mana pengalaman, insya Allah, ia berguna di masa depan.


Masing-masing dah makin juruh da..:)

Kebanyakan daripada mereka telah banyak berubah, sekurang-kurangnya dari sudut pemikiran dan perwatakan, tidak kurang juga dari sudut fizikal (menjadi lebih berisi). Huhu. Berkongsi cerita dengan mereka seakan-akan memberi kesedaran kepada aku bahawa dunia ini dipenuhi dengan manusia pelbagai ragam, minat dan latar belakang. Aku seakan tersedar dari lena yang panjang bahawa setiap seorang daripada manusia itu istimewa dengan ciri-ciri yang tersendiri. Ada yang begitu sensitif dengan bab politik, ada yang tidak habis bercerita tentang perempuan dan tidak kurang juga ada yang samar (blur) dalam segala jenis topik perbualan. Namun, semuanya perlu diraikan.

Ini semua ajaran Rasul junjungan. Kalau tidak percaya, mengapa Rasulullah memberi jawapan yang berbeza kepada para sahabat yang bertanya tentang amalan yang terbaik dalam Islam? Halusnya tarbiyah dan mesej yang Rasulullah nak sampaikan. Nasihat yang disampaikan memadai pencapaian pemikiran, tahap ilmu dan mujahadah para sahabat (mad'u) seterusnya memberi hikmah yang lebih besar bahawa Islam agama yang tidak pernah menyusahkan.

Perkara ini bukan perkara baru. Seni menghadapi manusia telah lama ditekankan oleh Rasululllah.
Ibarat kita memelihara seekor ikan. Andaikata kita memberinya makanan kucing, tentulah si ikan tidak berselera dan mungkin mati kelaparan.

Begitulah pentingnya mengenali mad'u kita.

Buat dai'e di luar sana, bergaullah dengan mad'u anda, rendahkan diri anda demi sebuah matlamat yang cukup-cukup tinggi iaitu mardhotillah. Kenalilah mereka.

Moga aku juga diberi kesempatan untuk menguasai 'seni' ini. Biiznillah...

Wednesday, 21 November 2012

Syukurku Dalam Duka

Aku duka
Melihat saudara seagamaku diserang pesawat-pesawat udara zionis laknatullah,
Misil-misil dilepaskan membabi buta,
Katanya ditujukan buat 'pengganas' hamas,
Namun apa yang ku lihat, cukup berbeza.
Anak kecil, kaum hawa, warga emas,
Semuanya tidak trlepas.

Aku duka,
Tatkala Mesir dan Turki berpendirian tegas,
Kelihatan seperti negara-negara Islam yang lain culas,
Arab Saudi, Qatar, Oic, Liga Arab,
Semuanya kelihatan ingin berlepas,
Kerana takut kepada kuasa-kuasa besar,
Mereka lupa kepada Yang Maha Besar.

Aku duka.

Namun aku syukur,
Kerana makin bertambah muslim yang cakna,
Mendoakan keselamatan mereka sepanjang masa,
Menghangatkan kembali tali persaudaraan yang terputus kian lama
Keadaan di sana, sedikit sebanyak melembutkan hati keras kita.

Doa kita untuk Gaza,
Kini dan selamanya.

Thursday, 8 November 2012

Teman Yang Dilupakan


Bismillahirrahmanirrahim.
 


Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 2
" Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa "


Begitulah hebatnya sahabat-sahabat sebuah kitab yang pada zahirnya hanya seperti buku-buku yang lain, tetapi hakikatnya buku kitab yang kelihatan biasa-biasa inilah yang menjadi rujukan utama agama yang kita semua yakin agama yang yerbaik. Ya, ulama' sehebat mana pun andai kata dia menolak kitab ini maka kita yang biasa-biasa ini pun layak untuk menolak sebarang pendapat atau fatwanya. Itulah kitab agung Al-Quranul karim. Kitab yang pada asalnya hanyalah kalamullah yang suci yang diturunkan melalui jibril As yang suci, diajarkan oleh Rasullullah, insan yang suci dan dihafal oleh para sahabat yang suci rohaninya dan akhirnya dibukukan pada zaman Khalifah Uthman untuk generasi-generasi seterusnya yang 'kurang suci' seperti kita.

Tuntasnya, kehebatan dan keagungan kitab Al-Quran ini saya percaya diakui oleh mana-mana insan yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah tanpa mengira tahap keimanan dan asal-usul pendidikan agamanya. Malangnya, realiti masyarakat muslim pada dewasa kini seakan-akan melupakan akan kepentingan kitab ini. Jangan disebut hendak mentadabbur atau mempelajari kitab ini, amalan membacanya pun sudah semakin asing dalam jadual kehidupan muslim pada zaman ini, sedangkan kita tahu akses untuk Al-Quran itu jauh lebih mudah pada zaman ini. Di sini saya gariskan beberapa punca yang signifikan sekadar muhasabah kita bersama :


  • Terlalu sibuk mengejar dunia
Ya, inilah hakikatnya. Kehidupan kita kini seakan-akan dunialah segala-galanya. Sedangkan kita lupa bahawa dunia bukan penghujungnya, dunia tidak kekal malah dunia digambarkan sebagai ladang tempat kita menyemai benih-benih berharga yang akan akan kita tuai 'di sana' nanti.Namun sahabat-sahabat, satu persoalan yang perlu dikoreksi bersama, apakah yang akan kita tuai di akhirat sana andai semua masa kita dihabiskan pada perkara yang tidak sepatutnya? Ingin saya tegaskan di sini bahawa bekerja untuk mencari rezeki, belajar dan apa-apa jua perkara kebaikan itu juga merupakan amalan di sisi Allah, namun perlu diingatkan bahawa amalan-amalan tersebut hanya akan diterima andai-andai ibadah khusus kita tidak diabaikan. Fikirkan sahabat-sahabat, adakah membaca satu muka Al-Quran itu akan mengganggu jadual kehidupan seharian antum? 



  • Budaya hidup
Budaya hidup kita memerlukan suatu pembaharuan yang holistik. Jangan sesekali kita menyalahkan situasi sekeliling dengan tuduhan seperti tiada masa dan sebagainya. Sesungguhnya, Islam itu sangat sesuai dalam setiap keadaan dan tempat. Oleh itu, susunlah masa antum agar antum dapat meluangkan masa walau sedikit untuk membaca (sekurang-kurangnya) dan tadabbur (sangat dituntut) kitab mulia ini.



  • Peranan Ibu Bapa

Sebenarnya, aspek ini termasuk di bawah perbincangan budaya hidup. Namun, sengaja saya bincangkannya dalam perbincangan yang lain kerana kesannya yang sangat signifikan kepada masalah ini berdasarkan pemerhatian saya. Fikirkan berapa ramai anak-anak yang istiqamah dalam membaca Al-Quran di institusi-institusi pengajian masing-masing namun apabila pulang ke rumah budaya ini gagal untuk diteruskan. Tidak dinafikan bahawa pentingnya seseorang itu memahami sebab dia berbuat sesuatu untuk dia istiqamah namun peranan orang sekeliling itu juga amat-amat penting terutama sekali dua orang insan yang cukup menjadi idola setiap insan bernama anak.

Secara kesimpulannya, usaha untuk memberi kesedaran kepda masyarakat muslim umumnya tentang pentingnya kembali kepada Al-Quran itu perlu ditingkatkan dan diberi penekanan oleh setiap pihak. Mulakan dengan diri kita, kemudian keluarga kita, sahabat-sahabat kita dan insyaallah masyarakat sekeliling kita.

 Percayalah, dalam kita mecari solusi kepada kemelut masyarakat dewasa kini.

Kembalilah kepada 'teman bercakap' yang ditinggalkan Nabi kita.

Insyaallah.