Wednesday 21 November 2012

Syukurku Dalam Duka

Aku duka
Melihat saudara seagamaku diserang pesawat-pesawat udara zionis laknatullah,
Misil-misil dilepaskan membabi buta,
Katanya ditujukan buat 'pengganas' hamas,
Namun apa yang ku lihat, cukup berbeza.
Anak kecil, kaum hawa, warga emas,
Semuanya tidak trlepas.

Aku duka,
Tatkala Mesir dan Turki berpendirian tegas,
Kelihatan seperti negara-negara Islam yang lain culas,
Arab Saudi, Qatar, Oic, Liga Arab,
Semuanya kelihatan ingin berlepas,
Kerana takut kepada kuasa-kuasa besar,
Mereka lupa kepada Yang Maha Besar.

Aku duka.

Namun aku syukur,
Kerana makin bertambah muslim yang cakna,
Mendoakan keselamatan mereka sepanjang masa,
Menghangatkan kembali tali persaudaraan yang terputus kian lama
Keadaan di sana, sedikit sebanyak melembutkan hati keras kita.

Doa kita untuk Gaza,
Kini dan selamanya.

Thursday 8 November 2012

Teman Yang Dilupakan


Bismillahirrahmanirrahim.
 


Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 2
" Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa "


Begitulah hebatnya sahabat-sahabat sebuah kitab yang pada zahirnya hanya seperti buku-buku yang lain, tetapi hakikatnya buku kitab yang kelihatan biasa-biasa inilah yang menjadi rujukan utama agama yang kita semua yakin agama yang yerbaik. Ya, ulama' sehebat mana pun andai kata dia menolak kitab ini maka kita yang biasa-biasa ini pun layak untuk menolak sebarang pendapat atau fatwanya. Itulah kitab agung Al-Quranul karim. Kitab yang pada asalnya hanyalah kalamullah yang suci yang diturunkan melalui jibril As yang suci, diajarkan oleh Rasullullah, insan yang suci dan dihafal oleh para sahabat yang suci rohaninya dan akhirnya dibukukan pada zaman Khalifah Uthman untuk generasi-generasi seterusnya yang 'kurang suci' seperti kita.

Tuntasnya, kehebatan dan keagungan kitab Al-Quran ini saya percaya diakui oleh mana-mana insan yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah tanpa mengira tahap keimanan dan asal-usul pendidikan agamanya. Malangnya, realiti masyarakat muslim pada dewasa kini seakan-akan melupakan akan kepentingan kitab ini. Jangan disebut hendak mentadabbur atau mempelajari kitab ini, amalan membacanya pun sudah semakin asing dalam jadual kehidupan muslim pada zaman ini, sedangkan kita tahu akses untuk Al-Quran itu jauh lebih mudah pada zaman ini. Di sini saya gariskan beberapa punca yang signifikan sekadar muhasabah kita bersama :


  • Terlalu sibuk mengejar dunia
Ya, inilah hakikatnya. Kehidupan kita kini seakan-akan dunialah segala-galanya. Sedangkan kita lupa bahawa dunia bukan penghujungnya, dunia tidak kekal malah dunia digambarkan sebagai ladang tempat kita menyemai benih-benih berharga yang akan akan kita tuai 'di sana' nanti.Namun sahabat-sahabat, satu persoalan yang perlu dikoreksi bersama, apakah yang akan kita tuai di akhirat sana andai semua masa kita dihabiskan pada perkara yang tidak sepatutnya? Ingin saya tegaskan di sini bahawa bekerja untuk mencari rezeki, belajar dan apa-apa jua perkara kebaikan itu juga merupakan amalan di sisi Allah, namun perlu diingatkan bahawa amalan-amalan tersebut hanya akan diterima andai-andai ibadah khusus kita tidak diabaikan. Fikirkan sahabat-sahabat, adakah membaca satu muka Al-Quran itu akan mengganggu jadual kehidupan seharian antum? 



  • Budaya hidup
Budaya hidup kita memerlukan suatu pembaharuan yang holistik. Jangan sesekali kita menyalahkan situasi sekeliling dengan tuduhan seperti tiada masa dan sebagainya. Sesungguhnya, Islam itu sangat sesuai dalam setiap keadaan dan tempat. Oleh itu, susunlah masa antum agar antum dapat meluangkan masa walau sedikit untuk membaca (sekurang-kurangnya) dan tadabbur (sangat dituntut) kitab mulia ini.



  • Peranan Ibu Bapa

Sebenarnya, aspek ini termasuk di bawah perbincangan budaya hidup. Namun, sengaja saya bincangkannya dalam perbincangan yang lain kerana kesannya yang sangat signifikan kepada masalah ini berdasarkan pemerhatian saya. Fikirkan berapa ramai anak-anak yang istiqamah dalam membaca Al-Quran di institusi-institusi pengajian masing-masing namun apabila pulang ke rumah budaya ini gagal untuk diteruskan. Tidak dinafikan bahawa pentingnya seseorang itu memahami sebab dia berbuat sesuatu untuk dia istiqamah namun peranan orang sekeliling itu juga amat-amat penting terutama sekali dua orang insan yang cukup menjadi idola setiap insan bernama anak.

Secara kesimpulannya, usaha untuk memberi kesedaran kepda masyarakat muslim umumnya tentang pentingnya kembali kepada Al-Quran itu perlu ditingkatkan dan diberi penekanan oleh setiap pihak. Mulakan dengan diri kita, kemudian keluarga kita, sahabat-sahabat kita dan insyaallah masyarakat sekeliling kita.

 Percayalah, dalam kita mecari solusi kepada kemelut masyarakat dewasa kini.

Kembalilah kepada 'teman bercakap' yang ditinggalkan Nabi kita.

Insyaallah.

Monday 5 November 2012

Sumbanglah..:)


Bismillahirrahmanirrahim

Setiap manusia di atas muka bumi ini telah dicipta dengan keistimewaan yang tersendiri, sifat-sifat yang pelbagai namun bermatlamatkan perkara yang sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ya, inilah maqasid unggul manusia diciptakan di atas muka bumi ini. Lalu, apabila perkara ini diperhalusi dengan hati yang luhur, maka tidak boleh tidak kita akan merasakan bahawa kita perlu menyumbang sesuatu di atas muka bumi ini. Lantas kerana yakin dan percaya terhadap fakta ini, lahirlah insan mulia seperti As-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk dakwah, penyanyi dakwah seperti Cat Steven atau Yusuf Islam dan banyak lagi tokoh-tokoh Islam yang telah memanifestasikan kefahaman mereka terhadap tuntutan ini.

                                                                     Cat Steven


Aku bersyukur kerana pada saat ini, kefahaman dan kesedaran ini masih lagi ditekankan dalam kalangan masyarakat terutama sekali dalam kalangan golongan muda di peringkat sekolah dan mahasiswa. Namun begitu, diri ini berasa risau melihat suatu fenomena baru yang mampu melumpuhkan kesinambungan dakwah itu sendiri andai kata tidak diatasi dengan sebaiknya. Aku melihat mereka ini cukup bersemangat dan komited untuk menyumbang kepada agama ini, namun kerana kurang yakin terhadap kebolehan diri, ramai yang memilih jalan untuk mendiamkan diri. Alasan seperti tidak tahu jalan terbaik, tidak ada bakat dan sebagainya sering menjadi jawapan di bibir mereka sekadar menyedap hati. Oleh itu, coretan ringkas aku ini sekadar ingin membuka sedikit pandangan mereka berkaitan perkara ini. Beberapa saranan kepada mereka yang ditimpa 'sindrom' ini :

1) Perbaiki dirimu dan bergaullah dengan orang lain
  • Mulakan dengan perkara-perkara yang asas seperti perelokkan bahasa percakapanmu,sentiasa menjaga kebersihan diri dan berakhlak mulia. Tonjolkan sifat-sifat mahmudah ini dalam pergaulan dan secara tidak langsung kamu sudak berdakwah. Inilah 'dakwah bilhal'. Senang kan.
2) Kenali  potensi dan kelebihan diri
  • Yakinlah pada Allah swt bahawa setiap manusia itu telah dicipta dengan sebaik-baiknya dengan pelbagai kelebihan yang berbeza-beza. Mungkin anda tidak mampu bercakap di depan khlayak ramai atau menulis artikel-artikel yang mengetuk hati tetapi percayalah, setiap perkara kebaikan itu walau sekecil zarah sekalipun ada ganjarannya. Sumbanglah sekadar mampu. Biar hanya sekadar mengedar flyers atau menyusun kerusi, Allah tahu apa yang berda di dalam hati kita dan berdasarkan itulah kita akan diberi ganjaran. 'Sikit-sikit lama jadi bukit', yang penting istiqamah.

Sebenarnya, wasilah untuk seseorang menyumbang kepada agama itu cukup-cukup LUAS.

Apa yang penting, kita sumbang, caranya, terpulang kepada anda.

Fastabiqul Khairat.