Monday 5 November 2012

Sumbanglah..:)


Bismillahirrahmanirrahim

Setiap manusia di atas muka bumi ini telah dicipta dengan keistimewaan yang tersendiri, sifat-sifat yang pelbagai namun bermatlamatkan perkara yang sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ya, inilah maqasid unggul manusia diciptakan di atas muka bumi ini. Lalu, apabila perkara ini diperhalusi dengan hati yang luhur, maka tidak boleh tidak kita akan merasakan bahawa kita perlu menyumbang sesuatu di atas muka bumi ini. Lantas kerana yakin dan percaya terhadap fakta ini, lahirlah insan mulia seperti As-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk dakwah, penyanyi dakwah seperti Cat Steven atau Yusuf Islam dan banyak lagi tokoh-tokoh Islam yang telah memanifestasikan kefahaman mereka terhadap tuntutan ini.

                                                                     Cat Steven


Aku bersyukur kerana pada saat ini, kefahaman dan kesedaran ini masih lagi ditekankan dalam kalangan masyarakat terutama sekali dalam kalangan golongan muda di peringkat sekolah dan mahasiswa. Namun begitu, diri ini berasa risau melihat suatu fenomena baru yang mampu melumpuhkan kesinambungan dakwah itu sendiri andai kata tidak diatasi dengan sebaiknya. Aku melihat mereka ini cukup bersemangat dan komited untuk menyumbang kepada agama ini, namun kerana kurang yakin terhadap kebolehan diri, ramai yang memilih jalan untuk mendiamkan diri. Alasan seperti tidak tahu jalan terbaik, tidak ada bakat dan sebagainya sering menjadi jawapan di bibir mereka sekadar menyedap hati. Oleh itu, coretan ringkas aku ini sekadar ingin membuka sedikit pandangan mereka berkaitan perkara ini. Beberapa saranan kepada mereka yang ditimpa 'sindrom' ini :

1) Perbaiki dirimu dan bergaullah dengan orang lain
  • Mulakan dengan perkara-perkara yang asas seperti perelokkan bahasa percakapanmu,sentiasa menjaga kebersihan diri dan berakhlak mulia. Tonjolkan sifat-sifat mahmudah ini dalam pergaulan dan secara tidak langsung kamu sudak berdakwah. Inilah 'dakwah bilhal'. Senang kan.
2) Kenali  potensi dan kelebihan diri
  • Yakinlah pada Allah swt bahawa setiap manusia itu telah dicipta dengan sebaik-baiknya dengan pelbagai kelebihan yang berbeza-beza. Mungkin anda tidak mampu bercakap di depan khlayak ramai atau menulis artikel-artikel yang mengetuk hati tetapi percayalah, setiap perkara kebaikan itu walau sekecil zarah sekalipun ada ganjarannya. Sumbanglah sekadar mampu. Biar hanya sekadar mengedar flyers atau menyusun kerusi, Allah tahu apa yang berda di dalam hati kita dan berdasarkan itulah kita akan diberi ganjaran. 'Sikit-sikit lama jadi bukit', yang penting istiqamah.

Sebenarnya, wasilah untuk seseorang menyumbang kepada agama itu cukup-cukup LUAS.

Apa yang penting, kita sumbang, caranya, terpulang kepada anda.

Fastabiqul Khairat.

No comments:

Post a Comment