Thursday 17 January 2013

Faham Syarat Perjuangan

Alhamdulillah. Diri diberi ruang dan peluang untuk menulis lagi. Moga-moga usaha ku ini dipandang oleh Allah, insyaallah.

Sesungguhnya Islam agama yang indah, tidak menyusahkan dan sempurna merangkumi seluruh persoalan dan aspek kehidupan. Islam diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Malangnya, kebenaran ini gagal diterjemahkan oleh ramai insan yang mengaku muslim dewasa ini.

Faktor utama kondisi umat Islam yang amat menyedihkan ini adalah tidak lain tidak bukan kerana kefahaman mereka sendiri tentang agama yang mulia ini bermasalah. 'Kurang ilmu' bukanlah frasa yang terbaik, 'salah faham' mungkin lebih menepati untuk menyampaikan maksud dalam perbahasan ini. Moga-moga diri kita tergolong dalam golongan orang yang diberi kefahaman terbaik dalam agama yang kita sayangi ini.

Lewat dua tiga bulan ini, terlalu banyak isu yang dimainkan oleh segelintir pihak yang kemudiannya mengakibatkan kepada bertambahnya kecelaruan kepada pemahaman saudara-saudara seagama kita terutama bagi yang belum cukup teguh ilmu asasnya dalam Islam ini. Akhirnya, muncullah muslim-muslim yang berjuang perkara yang furu'iyah (cabang) lebih daripada perkara yang usul (dasar) dan tidak kurang juga timbul pihak-pihak yang mula merendahkan pendapat-pendapat ulama'yang sememangnya diiktiraf keilmuannya.

Isu penggunaan kalimah Allah, sememangnya merupakan isu yang sengaja dihangatkan walaupun sebenarnya ianya adalah isu furu'iyah. Pendapat beberapa ulama' yang dilihat seakan-akan berbeza sengaja dibesar-besarkan. Inilah akibatnya apabila fanatik kepartian terlalu diagung-agungkan. Ulama' dilayan seperti budak hingusan, sedangkan mereka pewaris para Anbiya. Kita? Tentu jauh sekali. Islam.sentiasa menekankan kepentingan adab, lebih-lebih lagi dengan seseorang berstatus ulama'. Namun perlu diingatkan, ulama' tidak terlepas dari membuat silap. Kesilapan itu biasa bagi manusia dan ianya sedikit pun tidak menjejaskan keilmuan seseorang itu. Maka di situlah kita lihat keindahan islam.

Satu lagi perkara penting yang perlu ditegaskan di sini iaitu perbezaan pendapat dalam kalangan ulama' di dalam perkara-perkara furu'iyah sebenarnya adalah perkara biasa dalam sejarah agama ini dan bukanlah satu perkara yang perlu dibesar-besarkan. Lihatlah sahaja kepada perbezaan empat mazhab yang memang tidak asing lagi pada kita. Boleh sahaja kita menerima perkara tersebut dengan lapang dada. Jadi sebenarnya tiada apa yang peliknya jika berbeza pendapat dalam isu penggunaan kalimah Allah, itupun mestilah berdasarkan hujah dan kefahaman yang mendalam tentang agama ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama membetulkan kembali pendirian kita dalam memahami agama yang tercinta ini. Selain itu, kenalilah mana perkara yang furu'iyah dan mana yang usul kerana hanya dengan pemahaman yang tepat tentang perkara ini membolehkan kita memilih perjuangan yang terbaik untuk mengembalikan martabat agama ini di tempat yang sepatutnya.

Insyaallah. Biiznillah.

No comments:

Post a Comment