Wednesday 9 January 2013

Mengerti Skrip Kehidupan Ini

Sesungguhnya setiap yang dipinjam itu pasti akan dipulangkan..

Setiap permulaan itu ada penghujungnya..

Setiap yang hidup pasti akan mati..

Sememangnya persoalan ajal maut ini ketentuan tuhan, jauh dari telahan dan ramalan makhluk lemah bernama insan.

Namun seringkali kita lupakan, tuhan tidak tinggalkan kita tanpa sebarang pencerahan, cara bagaimana dan dalam keadaan apa pengakhiran kita sentiasa boleh diusahakan. Sama ada 'Husnul khotimah' (Pengakhiran yang baik) atau 'Su'ul khotimah' (Pengakhiran yang buruk), pilihan di tangan kita. Sungguh hebat percaturan tuhan, seakan-akan menyediakan kita satu peperiksaan besar. Barangsiapa yang berusaha dan belajar, nescaya dia akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ini, begitulah sebaliknya.

Begitulah sketsa kehidupan, siapkanlah bekalan untuk menjamin pengakhiran yang baik. Masih segar dalam ingatanku melihat tubuh segar Imam Fauzi mengimami solat isyak secara berjemaah di surau tempat tinggal ku. Wajah manisnya tidak pernah lokek memberikan senyuman kepada ku tatkala selesai membaca doa, tidak seperti sebilangan ahli qaryah yang lain, mungkin kerana kehadiran aku di surau tersebut yang tidak pernah konsisten atau kerana diriku yang memang tidak ramah. Bukan apa, kadang-kadang aku pun tidak tahu apa yang boleh dibualkan dengan mereka memandangkan minat mereka denganku jauh berbeza.

Kalau dulu, mudah sahaja, imamnya pasti Haji Fauzi. Tetapi setelah kesihatan Haji Fauzi merosot, (aku pun tidak pasti apa sebenarnya penyakitnya), imam seringkali berganti-ganti. Adakalanya aku pun ditolak hanya kerana mereka mengetahui bahawa aku pernah belajar di Darul Quran. Adakala apabila tiada orang yang 'sanggup' menjadi imam, solat terpaksa dilewatkan hingga seseorang yang sanggup menjadi imam muncul. Lucu juga melihat gelagat pakcik-pakcik ini saling bertolakan memilih imam.

Hampir dua bulan aku tidak melihat Imam Fauzi di surau. Akhirnya malam ini Allah memberi peluang untuk aku temui beliau. Tubuhnya sedikit susut, namun wajah manis itu tetap memberikan senyuman. Kelihatan pergerakannya sudah tidak setangkas dahulu, solatnya pun sudah memerlukan kerusi lipat untuk duduk ketika sujud. 

"Allahuakbar. Mudahnya engkau menarik nikmat seseorang itu". Getus hatiku. 

Hikmahnya hanya Engkau yang tahu. Kita insan lemah hanya mampu bersedia. Sentiasa bersedia.

Mungkin hari ini hari terakhir kita. Siapa tahu?

No comments:

Post a Comment