Thursday 3 January 2013

Pendakwah Yang Didakwah


Petang itu, aku dan beberapa orang sahabatku perlu berjumpa dengan tuan-tuan rumah yang berdekatan dengan tempat program kami. Cadangan kami untuk mengadakan 'explorace' versi islamik yang kian popular dalam kalangan program kepimpinan, motivasi atau apa-apa sahaja bentuk program yang islamik kerana kesuaiannya untuk menyampaikan mesej dalam bentuk yang jauh lebih santai dan berkesan. Target kami pada petang tersebut hanyalah untuk memaklumkan kepada mereka secara ringkas tentang tujuan dan pelaksanaan 'explorace' tersebut. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Ada yang menolak dengan baik kerana tidak berada dalam rumah pada masa 'explorace' tersebut. Mereka cukup beradab, walaupun kami ini orang asing, terasa seperti sangat dialu-alukan. 

Kisah kami bertandang di sebuah rumah ini cukup segar dalam ingatanku. Lucu, insaf dan mungkin kagum berkumpul dalam satu masa. Setibanya kami di sana, rumahnya kelihatan seperti kosong. "Mungkin tuannya keluar rumah," Sahabat aku mengagak. Selepas beberapa kali memberi salam, muncuk sebuah sosok lelaki separuh abad di depan pintu. Kami pun memperkenalkan diri dan memohon sedikit masa pak cik tersebut untuk menerangkan tujuan kami hadir ada petang tersebut. Beliau pun dengan senang hati mengajak kami untuk duduk di kerusi rotan yang terletak di halaman rumahnya.

Penerangan kami seperti biasa, hanya sekadarnya. Tiba-tiba pakcik itu mencelah, "Mengapa nama persatuan kamu itu dalam bahasa inggeris?" Kami terdiam, kelu tanpa jawapan. Pakcik itu menyambung lagi, "Martabatkanlah Bahasa Melayu, bukan salah guna bahasa inggeris, tapi biarlah ada bahasa melayunya. Bahasa Melayulah identiti kita." Kami mengangguk perlahan. Pakcik itu tidak berhenti setakat itu sahaja, beliau terus menyambung tentang beberapa bab yang sebenarnya agak tinggi apabila dibincangkan dalam kalangan masyarakat kita dewasa ini. 

Pakcik itu mengkritik usaha tidak serius orang melayu dalam memelihara dan memulihara tulisan jawi. Beliau sangat menekankan bahawa segala usaha ini memang tidak akan nampak kesan baik buruknya dalam masa dua tiga tahun yang terdekat ini, bahkan kesannya akan sangat jelas dalam lima puluh tahun akan datang. Anak-anak orang melayu kini rata-ratanya tidak mampu membaca tulisan jawi. Beliau menambah, tidak mustahil lima puluh tahun akan datang tulisan jawi sudah hilang ditelan zaman.

Selain itu, beliau juga memberi komen ringkas tentang isu pengunaan kalimah Allah yang hangat dibincangkan di negara ini. Terkejut kami mendengar pakcik tersebut membaca beberapa ayat daripada kitab 'bible'. Huhu. Mungkin pakcik itu hanya menipu kami kerana memang tidak ada seorang pun daripada kami yang pernah mengkaji 'bible secara serius. Kesimpulan yang kami dapat bahawa agamawan-gamawan kristian ini sebenarnya telah beberapa kali menukar ayat-ayat atau istilah-istilah dalam 'bible' untuk memenangi isu ini. Kebenarannya , wallahua'lam.

Petang itu, aku pulang dengan penuh kepuasan. Mungkin input yang kudapat petang itu perlu kepada lebih kajian namun aku puas berkenalan dengan mereka. Pertemuan yang semakin membuka mata ku bahawa insan itu cukup bewarna-warni sifat dan perangainya.

Aku ingin menyampaikan Islam kepada insan..


Sudah tentu, aku perlu mulakan dengan mengenali mereka..


No comments:

Post a Comment